KUALA LUMPUR – Himpunan Pertahankan Kedaulatan Islam dan Perlembagaan yang akan diadakan di sini esok sudah mendapatkan kelulusan polis.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Aminuddin Yahya berkata, perhimpunan itu akan dijalankan secara aman seperti perhimpunan lain yang telah dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.

Kata beliau, perhimpunan itu bertujuan untuk menyuarakan kegelisahan rakyat terutamanya masyarakat bumiputera dan Islam terhadap isu-isu yang dilihat mengancam kedaulatan Islam serta Perlembagaan Persekutuan.

“Saya nak tegaskan bahawa perhimpunan kami adalah perhimpunan aman. Jadi saya harap semua rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat turun tanpa ada mana-mana pihak yang cuba membuat sabotaj.

“Alhamdulillah, perhimpunan kita esok telah dibincangkan dengan pihak polis dan telah mendapat kelulusan. Tidak ada masalah,” katanya dalam sidang akhbar di perkarangan pusat beli-belah Sogo di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE