KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa mengutuk tindakan seorang individu yang didapati memijak al-Quran dalam sebuah video yang tular hari ini.

Beliau berkata tindakan itu ternyata menghina agama Islam dan tindakan itu amat serius.

“Menghina agama Islam serta kitab suci al-Quran merupakan tindakan serius yang tidak boleh dikompromi sama sekali.

“Justeru, semua pihak harus peka supaya tidak melakukan tindakan yang bersifat provokatif dan mempamerkannya di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mujahid merujuk kepada penularan satu video di media sosial memaparkan seorang lelaki bertindak memijak al-Quran di dalam sebuah bilik yang masih belum dikenal pasti lokasinya.

Mujahid turut menasihati semua pihak agar tidak terburu-buru mengambil tindakan sendiri.

“Saya yakin pihak polis sentiasa bertindak tegas dan segera kepada mana-mana aduan yang dibuat melibatkan jenayah menghina Islam.

“Negara ini mempunyai undang-undang yang boleh diguna kepada individu yang menghina agama Islam seperti Seksyen 298A dan Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya lagi.

Terdahulu, tular seorang lelaki yang didakwa memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU) membuat siaran langsung di Facebook bertindak memijak Al-Quran.

Dalam video berkenaan, lelaki yang menggunakan nama Facebook Zack Hard Candy itu dikatakan turut menghina Allah.

Selepas penularan video itu, lelaki berkenaan dibelasah sekumpulan lelaki muslim yang berang dengan tindakannya itu.

Kumpulan lelaki berkenaan bertindak membelasah lelaki OKU itu, selepas berlaku pertengkaran sesama mereka. -MalaysiaGazette