IPOH – Pemuda AMANAH Negeri Perak hari ini tampil membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook, Foo Sing Wai yang menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri, Saidatina Aishah.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Perak, Ahmad Shafiq Mohd Ariffin ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini berkata, tindakan individu yang memuat naik satu karikatur kartun dalam keadaan berbogel yang digambarkan sebagai Rasulullah SAW dan isteri baginda, adalah sesuatu yang keterlaluan.

“Ia sangat melampau dan keterlaluan, selain melanggar sensitiviti umat Islam bukan sahaja di negara ini malah di seluruh dunia, kebiadapan individu itu mampu menggugat keselamatan dan keharmonian negara.

“Kita mengharapkan satu tindakan yang tegas dari pihak berkuasa ke atas Foo Sing Wai supaya kebiadapan ini tidak berlaku lagi selepas ini,”katanya kepada pemberita pada Selasa.

Sementara itu, Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Mohd Sany Hamzan yang turut hadir di IPD Ipoh menjelaskan perkara seumpama itu tidak sepatutnya berlaku di negara berbilang kaum.

Katanya, lebih banyak laporan polis akan dibuat dari pemuda AMANAH negeri lain seperti mana yang dilakukan oleh negeri Melaka dan Perak.