KUANTAN : Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) membuat laporan polis ke atas pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Nengtung Ting dan beberapa pengguna laman sosial itu kerana mengeluarkan kenyataan berbaur cercaan serta penghinaan terhadap Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah.

Laporan polis yang turut disertai dua lagi badan bukan kerajaan (NGO) lain termasuk Majlis Belia Daerah Kuantan dan Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini petang semalam.

Presiden MBNP, Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, tindakan yang disifatkan kurang ajar tidak sepatutnya dibiarkan dan boleh dianggap satu penderhakaan kepada institusi raja di negara ini.

Menurutnya, tindakan tidak bertanggungjawab itu juga telah mengguris perasaan terutama rakyat Pahang.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadab ini dan menuntut pihak polis mengambil tindakan segera terhadap pengkhianat yang berselindung di sebalik nama Nengtung Ting ini dan beberapa pengguna lain yang jelas menghina Raja Permaisuri Agong,” katanya.

Wan Emril berkata, MBNP menyeru seluruh rakyat khususnya NGO untuk tampil membuat laporan polis terhadap pengguna Facebook yang tidak bertanggungjawab itu.

“Kita harap pihak yang terlibat dikenakan tindakan berdasarkan peruntukan di bawah Akta Hasutan dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Sementara itu, Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Wilayah Kuantan juga senada dengan gesaan terbabit berharap isu penghinaan terhadap institusi raja dan kepimpinan tertinggi negara sentiasa dipantau pihak berkuasa supaya penghinaan seumpama itu dapat dihentikan.

Ketua penerangannya, Asrullah Affendi Abdullah turut membidas dan mengutuk tindakan beberapa netizen yang sengaja mengeluarkan komen melampau yang jelas menghina peribadi individu yang dihormati.

“Sebagai NGO yang berpegang kepada prinsip dan tatasusila di negara Ini, MBFM Wilayah Kuantan akan tetap setia kepada raja dan negara serta tidak akan sama sekali berdiam diri sekiranya kebiadaban ini ditujukan kepada institusi raja,” katanya.

Kelmarin, halaman Facebook itu menjadi medan netizen bertindak biadab dengan menghina Tunku Azizah dengan panggilan ‘nenek sihir rasis’.

Cercaan pemilik Facebook menggunakan nama Nengtung Ting itu dipercayai susulan tindakan baginda menggunakan tulisan jawi di Twitter sebagai usaha memperkasakan tulisan berkenaan. -SINAR