KUALA LUMPUR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini menahan empat individu berhubung siasatan kes menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam laman sosial Twitter.

Tangkapan terhadap keempat-empat suspek termasuk seorang pemimpin pemuda sebuah parti dilakukan pada 13 September lalu susulan satu laporan polis dibuat di Kuantan, Pahang berkaitan isu penghinaan berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, tiga daripada mereka telah menyerah diri di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi manakala seorang lagi telah ditahan di Klang, Selangor.

Katanya, beberapa peralatan digital milik kesemua suspek turut dirampas.

“Mereka kini dibebaskan dengan jaminan polis dan kertas siasatan akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk arahan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Polis sebelum ini membuka kertas siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung laporan penghinaan terhadap kedua-dua baginda dalam laman sosial.

Dalam pada itu, Huzir berkata, pihaknya turut menahan seorang individu kerana dipercayai mengugut dan menunjukkan isyarat lucah terhadap anggota cawangan Kem Komandon yang bertugas di Pos Pengawal, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kelmarin.

Menurutnya, penahanan itu dijalankan susulan satu laporan polis oleh anggota tersebut pada Selasa lalu.

“Bagaimanapun, suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam kerana mengalami masalah mental dan masih mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

“Dalam pada itu, kita juga ingin mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang komen atau berkongsi perkara yang menyentuh sensitiviti agama, perkauman dan institusi diraja dalam mana-mana laman sosial,” ujarnya.

Tambahnya, orang ramai juga perlu mematuhi syarat-syarat yang dikeluarkan mana-mana jabatan kerajaan atau kementerian mengenai tatacara semasa berada di pejabat kerajaan.-