TELUK INTAN – Seorang warga emas tidak serik ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) walaupun sudah berkali-kali keluar masuk pusat pemulihan.

Lebih parah, lelaki berumur 60 tahun itu juga tidak mengendahkan kesakitan akibat patah kaki setahun lalu.

Warga emas terbabit yang hanya dikenali Ah Chai berkata, sudah berbelas kali dia ditahan atas kesalahan menagih dadah dan dimasukkan ke pusat pemulihan sebelum kembali menagih.

“Saya mula hisap dadah ketika umur 17 tahun, Ketika tu, saya hisap untuk keseronokan dan kemudian ketagihan sehingga sudah tidak rasa apa-apa lagi.

“Kali terakhir saya ditangkap empat tahun lalu. Selepas tu, saya berhenti menagih tapi tahun lepas saya kemalangan dan kaki patah sehingga tak boleh dibengkokkan lagi,” katanya ketika ditemui di Pejabat AADK Hilir Perak, selepas ditangkap semalam.

Menurutnya, dia terpaksa menghisap dadah bagi menahan kesakitan yang dialaminya akibat patah kaki dan perkara tersebut berlanjutan sehingga dia ditahan semula.

“Kaki sakit, mahu tidak mahu saya perlu hisap untuk hilangkan sakit,” katanya.

Ditanya sama ada dia sudah berkeluarga atau tidak, Ah Chai berkata, dia mempunyai isteri dan tiga anak serta empat cucu.

“Tapi saya tinggal seorang diri kerana isteri sudah lari ikut anak-anak ke Johor disebabkan saya tak berhenti menagih dadah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai AADK Hilir Perak, Najmiah Hanafi berkata, warga emas berkenaan cukup dikenali dalam kalangan anggotanya kerana sering ditangkap.

“Kita berjaya menangkapnya ketika menagih di luar rumah dan hasil ujian air kencing dia didapati positif dadah dan dipercayai digunakannya untuk menghilangkan kesakitan seperti yang didakwanya,” katanya.

-SinarHarian