PUTRAJAYA : Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sudah meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan saringan terhadap semua pegawai di pejabatnya bagi memberi keyakinan rakyat terhadap integriti mereka.

Beliau berkata, selain itu, suruhanjaya itu juga akan diminta memantau semua pegawai di pejabatnya.

Bagaimanapun, katanya, bagi kakitangan di Kementerian Luar beliau berpandukan kepada kepemimpinan sedia ada di Wisma Putra.

“Kita sudah minta SPRM tapis dan saring semua…bukan saja setakat tapis, tetapi minta pantau sekali pegawai saya di pejabat Menteri.

“Kita bimbang kadang-kadang ramai (kakitangan dan pegawai) bawah kita ini dia buat macam-macam tapi akhirnya kita yang memimpin, yang terpaksa bertanggungjawab untuk menjawab apa jua pertuduhan yang dilakukan mereka,” katanya pada sidang media di Wisma Putra, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada akan memperkenalkan cara kerja baharu seperti yang bakal dilaksanakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri terhadap kakitangannya.

Zulkifli sebelum ini dilaporkan akan memperkenalkan cara kerja mengikut sistem piramid dan menitikberatkan konsep masa ketika bertugas.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu juga menegaskan, beliau tidak suka penjawat awam di bawah jabatan dan agensi kementerian mengabaikan waktu ketika menjalankan tugas.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai kenyataan beberapa pihak yang seolah-olah kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mengetahui mengenai kewujudan helikopter akan diterima, sebelum ini, Hishammuddin berkata, penerimaan enam helikopter tempur ringan jenis MD-530G oleh Tentera Darat sudah diumumkan sendiri oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.

“Kalau dia tidak tahu, suruh dia tanya sendiri Panglima Tentera Darat,” katanya ringkas.

Kelmarin, media melaporkan Hishammuddin membidas kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempersoalkan kes kehilangan helikopter yang merujuk kepadanya.