PETALING JAYA: Setelah berdepan pengalaman tidak disangka-sangka, pemilik sebuah homestay di Melaka berjanji akan lebih berhati-hati untuk menyewakan penginapan kepada pelanggan yang bukan mahram.

Fareez Sarifuddin, 31, yang membuka sebuah homestay berdekatan dengan bandar Melaka dua tahun lalu berkata, sepanjang tempoh itu dia sering berdepan pelbagai karenah pelanggan, tetapi semuanya dianggap cabaran dan diambil sebagai pengajaran dalam mengendalikan perniagaan ini.

Menurut Fareez, walaupun dia sering mengutamakan kehendak penyewa, tetapi itu bukan bermakna mereka boleh datang ke homestaynya untuk melakukan maksiat.

Fareez, beberapa hari lalu memuat naik gambar penemuan kotak kondom ketika ingin membersihkan salah sebuah unit sewaannya.

Perkongsian yang dimuat naik oleh Fareez. Bagaimanapun ia telah dipadam dua hari lalu.

“Seperti biasanya selepas pelanggan ‘check out’ saya akan terus masuk ke apartment dan membuang sampah. Itu perkara pertama yang saya akan lakukan. Biasanya sampah-sampah memang sudah diletak dalam tong sampah yang disediakan, tetapi kali ini saya agak terkejut menemui kotak kondom.

“Ia mengejutkan saya sebab saya tahu siapa yang ‘check-in’ homestay ini. Saya yakin mereka pelajar (dua lelaki dan dua perempuan). Saya hanya berfikiran baik-baik sahaja bahawa mereka datang ke Melaka dan homestay saya menjadi pilihan kerana harga yang berpatutan,” ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Netizen memberi maklum balas terhadap gambar yang dimuat naik Fareez sebelum ini.

Menurut Fareez, selepas selesai mengemas sampah sarap, dia memeriksa kesemua tiga bilik yang terdapat di unit sewaannya itu.

“Sekali lagi terkejut kerana katil di bilik nombor 3 hilang. Pelik, biasanya hilang tilam sahaja. Rupa-rupakan katil itu diangkat ke bilik nombor 2. Saya hanya menggelengkan kepala kerana ia pertama kali berlaku sepanjang menawarkan perkhidmatan ini.

“Saya memuat naik gambar kotak kondom dan bilik itu di laman sosial dan ramai yang memberi respon baik dan ada juga mengecam tindakan saya,” katanya mengenai reaksi netizen terhadap postingnya yang tular itu.

Dia juga menafikan berniat untuk memalukan pelanggan dengan mencerikan kisah tersebut di media sosial, sebaliknya ia hanya satu perkongsian pengalaman yang boleh dijadikan pengajaran untuk semua.

“Ingin saya jelaskan, kedua-dua gambar itu bukan membuka aib sesiapa. Saya tidak langsung menyebut apa-apa yang peribadi berkaitan pelanggan saya.

“Saya mengambil semua komen-komen itu sebagai pengajaran dan peringatan. Yang positif saya akan gunakan untuk memastikan perkhidmatan homestay saya ini semakin baik.

“Ada juga yang memberi nasihat dan cadangan dalam menangani kegiatan seks di kalangan bukan mahram di homestay. Saya bukan hanya mengejar untung sahaja, tetapi ada perkara-perkara yang kita perlu elak, kena elak,” jelasnya yang turut memberitahu homestay juga terbuka kepada pelancong luar – mstar