IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau menghormati hasrat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah, Ahmad Hasbullah Elias yang enggan lagi dicalonkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke14 (PRU-14).

Menurut Dr Zambry, mungkin abang kepad penceramah popular, Datuk Ustaz Kazim itu ingin berkhidmat dalam bidang lain dan ingin berhenti sebagai wakil rakyat.

Menurut beliau, ia juga mungkin lanjutan daripada pengumuman beliau tidak lama dahulu mengenai ada beberapa wakil rakyat yang menyatakan hasrat yang sama, yang beliau sifatkan sebagai satu proses biasa dalam parti.

“Apapun ia bergantung sehingga beliau berjumpa dengan saya,” katanya kepada pemberita selepas program Selamat Pagi Perak Bersama Dr Zambry di RTM Perak di sini pada Isnin.

Beliau mengulas laporan akhbar mengenai hasrat Hasbullah yang tidak mahu dicalonkan semula dalam PRU-14.

Dr Zambry berkata, wakil rakyat Kubu Gajah itu tidak memaklumkan kepada beliau secara rasmi dan memilih untuk membuat kenyataan melalui akhbar terlebih dahulu.

“Secara peribadi, Hasbullah tiada masalah dengan saya, cuma mungkin beliau memikirkan masa untuk beliau berkhidmat sudah sampai ke penghujungnya.

“Seperti mana juga yang saya umumkan sebelum ini, ada di kalangan ahli-ahli yang berhormat yang menyatakan hasrat dan hari ini melalui akhbar, kita mendengar seorang lagi menyatakan hasrat untuk tidak bertanding.

“Apapun, bagi pihak kerajaan dan juga parti, kita mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana telah menyatakan hasrat itu, cuma saya tidak boleh membuat komen yang lebih panjang selagi belum mendapat maklum balas daripada beliau.

Ditanya kemungkinan kenyataan itu akan menguatkan dakwaan kononnya Hasbullah akan menyertai pihak pembangkang, Dr Zambry berkata, ia mungkin spekulasi kerana Hasbullah sendiri menyatakan menyenai sayangnya kepada parti.

Ditanya kononnya wakil rakyat Kubu Gajah itu calon popular dan tidakkan ada usaha untuk memujuknya, Dr Zambry memberitahu, beliau akan melihat daripada semua aspek.

“Mungkin ada yang popular tapi mereka dah tak nak berkhidmat, kita boleh kata apa, ada pula yang tidak popular tetapi hendak pula berkhidmat…ada orang merasakan kalau hendak berhentik waktu tengah popular, jadi macam-macam andaian,” tambahnya.