BENTONG: Semua pihak perlu menghormati keputusan PKR mengosongkan satu kerusi Parlimen bagi memberi laluan kepada Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata ia adalah keputusan kepemimpinan tertinggi PKR mengenai perkara itu.

“Ia terpulang kepada parti PKR… kita hormati keputusan mereka.

“Bagaimanapun, kita akan tunggu untuk mereka berbincang dengan kami (Pakatan Harapan),” katanya.

Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika ditemui pada majlis penerangan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) anjuran Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Dewan Perhimpunan Cina Bentong, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Pejabat Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack di Jalan Chui Yin, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang mengesahkan satu kerusi Parlimen akan dikosongkan bagi memberi laluan untuk Anwar bertanding.

Dr Wan Azizah berkata, bagaimanapun bila dan di mana kerusi terbabit akan dikosongkan untuk Anwar itu tidak dapat diumumkan buat masa ini – berita harian