HUTAN MELINTANG: Barisan Nasional (BN) sentiasa menghormati mana-mana wakil rakyat yang telah dipilih oleh rakyat walaupun dari parti yang berbeza.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, apa yang lebih penting BN memerlukan wakil rakyat yang boleh memberikan perkhidmatan yang baik dan membawa pembangunan kepada rakyat.

“BN memerlukan wakil rakyat yang boleh memberikan perkhidmatan terbaik, membawa pembangunan dan memberi bantuan kepada kita semua.

“Inilah kerajaan Perak, kerajaan Persekutuan yang dipegang oleh Barisan Nasional,” katanya semasa berucap di Majlis Bersama Masyarakat India parlimen Bagan Datuk di Dewan Sanmarka Sangam, Hutan Melintang pada Jumaat.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengerusi MIC Perak, Datuk V. Elango.