LUMUT: Hospital Angkatan Tentera kini maju selangkah dengan mengamalkan konsep Hospital Mesra Ibadah (HMI) yang bertujuan untuk menyediakan rawatan dan bimbingan berbentuk kerohanian khusus bagi mendekatkan pesakit dengan Tuhan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, 96 Hospital Angkatan Tentera yang terletak di Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut itu merupakan hospital pertama di Perak yang melaksanakan inisiatif tersebut.

Menurut beliau, idea itu merupakan satu langkah proaktif daripada angkatan tentera yang menampakkan kelainan mereka dalam merapatkan pesakit kepada Pencipta berbanding kaedah rawatan biasa.

“Ini adalah satu sejarah yang dicipta di negara kita, satu pendekatan cukup kreatif kerana adakalanya bila kita jatuh sakit, kita cuba untuk mendekatkan diri dengan Tuhan justeru hospital ini telah mengambil langkah berkenaan.

“Mereka juga akan membantu dari segi cara-cara mengambil air sembahyang, membaca al Quran dan menggalakkan aktiviti yang berbentuk rohani,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Hospital Mesra Ibadah, 96 Hospital Angkatan Tentera, Pengkalan TLDM Lumut, di sini pada Jumaat.

Sebelum itu, beliau telah hadir dalam Sambutan Hari Terbuka Armada TDLM dan Mini Maha anjuran bersama TLDM dan Kementerian Pertanian Malaysia di Markas Armada TLDM, di sini pada Jumaat.

Katanya, HMI merupakan satu gagasan pengurusan dan pentadbiran hospital yang memberi tumpuan kepada nilai kecemerlangan dalam kesejahteraan pesakit melalui penerapan dan penghayatan Islam.

Sementara itu, Pegawai Memerintah HMI, Datuk Dr Zakaria Awang berkata, idea untuk menerapkan konsep mesra ibadah di hospital itu tercetus apabila mereka menyedari kepentingan dan peluang  yang ada untuk mendekatkan pesakit kepada Allah.

“Kita ingin meneroka ruang yang ada untuk melatih mereka untuk melakukan solat fardhu, bacaan al Quran, solat berjemaah dan sebagainya kerana memang doktor ada untuk menyediakan kepakaran mereka dalam merawat pesakit, tetapi segala-galanya terletak di tangan Allah,” ujarnya.

Jelas Dr Zakaria, mereka juga ingin merangka modul bersesuaian di mana sebuah kumpulan pengurusan, baik di peringkat kakitangan sokongan atau pakar, dapat bersama mewujudkan hubungan akrab dan memberi bimbingan rohani kepada pesakit.

“Bila konsep mesra ibadah ini dilaksanakan maka kita berpeluang saling ingat-mengingati untuk sentiasa bersolat, menjadi penasihat di antara sesama selain meningkatkan kualiti perkhidmatan sedia ada,” katanya lagi.

Beliau berkata, hospital tersebut mempunyai 385 kakitangan secara keseluruhannya dan 14 daripada adalah golongan pakar yang bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan terbaik buat kesemua pesakit.