PARIT BUNTAR: Hospital baharu Parit Buntar yang memberi manfaat kepada lebih 120,000 penduduk sekitar Daerah Kerian dijangka siap Januari 2021.

Fasa satu dan dua yang melibatkan kerja-kerja tanah projek tersebut telah siap tahun lalu manakala pembinaan bangunan hospital dijangka dimulakan tahun hadapan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek tersebut memakan masa kerana ia perlu memenuhi beberapa kriteria, sebelum boleh dilaksanakan.

Beliau memberi contoh, tanah di kawasan tersebut lembut yang memerlukan masa sekurang-kurangnya setahun selepas kerja penambakan, bagi memastikannya benar-benar mampat dan sesuai untuk pembinaan bangunan hospital.

“Sekarang ni tanah dah selesai. Di samping itu kita kena bit untuk funding, Kementerian Kesihatan kena bit untuk funding, keutamaan kewangan itu sudah pasti banyak lagi hospital nak dibuat dan alhamdulillah, Kerian, Hospital Kerian ini dah diluluskan untuk dalam Rancangan Malaysia ke 11 akan dilaksanakan dalam tahun ini juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan ke tapak projek Hospital Parit Buntar pada Sabtu.

Pembinaan hospital itu mula diumumkan sejak tahun 2008 yang diikuti pengumuman rasmi daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2012.

Hospital Parit Buntar yang mempunyai 76 katil dibina di atas kawasan seluas 21 hektar akan dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan perubatan seperti waf bersalin, bilik pembedahan, orthopedik dan pediatrik di samping kemudahan rawatan pesakit luar dan hemodialisis.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Parit Buntar, Datuk Abu Bakar Mat Ali berharap agar pembinaan hospital itu dapat disegerakan.

Menurut beliau, Hospital Parit Buntar yang lama sekarang menerima kira-kira 3,000 pesakit sebulan dan mereka yang mahu mendapatkan rawatan pakar terpaksa ke Ipoh atau Taiping.