KUALA LUMPUR: Hospital kerajaan bakal memperkenalkan penggunaan kaedah terapi lintah bagi mengubati pesakit menjelang 2020.

Ketua Unit Penjagaan Luka, Jabatan Perubatan Dalaman, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Prof Dr KRN Harikrishna, berkata kaedah itu akan digunakan untuk merawat pesakit yang mengalami bengkak, khususnya selepas menjalani pembedahan, selain kecederaan tisu.

Melalui kaedah itu, beliau berkata, pesakit mampu sembuh dalam tempoh kurang dua hari berbanding antara tiga hingga lima hari ketika ini.

“Menerusi kaedah terapi ini, lintah akan menghisap darah, sekali gus mengurangkan bengkak dan kesakitan serta melancarkan peredaran darah pesakit yang dapat membantu mempercepatkan proses penyembuhan dan penutupan luka.

“Kaedah ini sesuai bagi pesakit pada pelbagai peringkat usia dan lebih berkesan berbanding penggunaan ubat yang mengambil masa lebih lama untuk sembuh.

“Terapi ini berbeza dengan di luar negara dan yang digunakan pihak lain kerana kita berjaya ‘menghasilkan’ lintah disterilkan sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Luka Global 2018, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Persatuan Perawatan Luka Asia (AWCA), Dr Sadanori Akita.

Harikrishna yang juga Presiden Persatuan Perawatan Luka Profesional Malaysia (MSWCP) berkata, pihaknya sedang menunggu kelulusan Jawatankuasa Etika dan Penyelidikan Perubatan bagi memulakan fasa terakhir kajian terapi lintah itu.

Sebaik sahaja kajian itu selesai, katanya, kerjasama akan dijalinkan dengan mana-mana syarikat berminat sebelum ia digunakan di hospital kerajaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya menggunakan lintah jenis hirudonensis malenencis sepanjang 10 sentimeter dari Terengganu dan ibu negara.

“Ini adalah sebahagian daripada teknologi perubatan yang diterajui Malaysia selepas kita berjaya menggunakan terapi ulat untuk mengubat luka,” katanya.

Terdahulu, Persidangan Luka Global 2018 dirasmikan Timbalan Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan, Datin Dr Asmah Samat, mewakili Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.

Persidangan kali kelapan itu dihadiri lebih 600 delegasi dan 70 penceramah dari 40 negara, dengan 40 gerai pameran – berita harian