PARIT BUNTAR – Perlaksanaan projek Hospital Kerian di Simpang Lima, di sini yang sedang giat berjalan mungkin akan berlaku sedikit kelewatan dari tempoh siap ditetapkan iaitu Januari 2021.

Exco Kerajaan Negeri, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, kemungkinan berlaku kelewatan projek mega itu disiapkan daripada tarikh ditetapkan disuarakan pihak Jabatan Kerja Raya(JKR) Kerian kepadanya dalam satu pertemuan baru-baru ini.

Menurutnya, antara faktor kemungkinan kelewatan berlaku disebabkan JKR Pusat masih belum melantik kontraktor yang menjalankan kerja elektrikal dan mekanikal (M&E) untuk menyempurnakan projek itu.

“Mengenai projek hospital (Kerian) dalam satu pertemuan dengan pihak JKR, mereka sendiri melahirkan kebimbangan projek itu mungkin akan berlaku kelewatan meskipun ketika ini perlaksanaan projek mendahului jadual tahap kemajuan.

“Antara faktornya JKR Pusat masih belum melantik kontraktor yang menjalankan M&E di mana kerja penyelarasan aspek M&E perlu dilaksanakan kontraktor bakal dilantik sebelum kontraktor utama menjalankan kerja-kerja lantai, rasuk dan tetulang,” katanya kepada media pada majlis penyerahan Jalur Gemilang sempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-62 di tapak pasar malam Pekan Lama Parit Buntar, hari ini.

Hasnul Zulkarnain yang juga Adun Titi Serong berkata, pada ketika ini kontraktor sedia ada sedang dalam proses menyiapkan bicap sebelum beralih kepada proses pemasangan rasuk dan tetulang.

Menurutnya, proses kelewatan projek Hospital Kerian disiapkan dianggarkan akan tertangguh selama satu hingga dua bulan sekiranya proses perlantikan kontraktor menjalankan kerja M&E masih gagal disegerakan.

“Saya akan berhubung dengan JKR Bahagian Projek Khas di Kuala Lumpur bagi mengetahui tindakan susulan mereka.

“Selaku wakil rakyat di sini saya amat berharap projek ini dapat disiapkan mengikut tempoh waktu ditetapkan kerajaan sebelum memandangkan kemudahan hospital baharu ini amat didambakan rakyat Parlimen Parit Buntar dan daerah Kerian,” katanya.

Pembinaan hospital itu mula diumumkan sejak 2008 yang diikuti pengumuman rasmi daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2012.

Hospital Kerian juga bakal menjadi hospital pertama di negara ini dibina menggunakan sistem Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) berasaskan reka bentuk imej tiga dimensi (3D).

Terdahulu, bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pembangunan hospital menelan kos RM136.7 juta itu membabitkan teknologi pembinaan terkini menggantikan AutoCAD.

Hospital Parit Buntar yang mempunyai 76 katil dibina di atas kawasan seluas 21 hektar akan dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan perubatan seperti wad bersalin, bilik pembedahan,  orthopedik dan pediatrik di samping kemudahan rawatan pesakit luar serta hemodialisis – sinar