IPOH: Perancangan untuk membina sebuah hospital khas bagi veteran tentera di bandaraya ini merupakan bukti keprihatinan kerajaan terhadap isu kebajikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Seri, Zulkiple Kassim berkata, pembinaan hospital itu nanti dilihat tepat selain memudahkan veteran tentera untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.

“Ini adalah salah satu transformasi di mana pembinaan hospital khas itu akan memudahkan mana-mana veteran untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang lebih berfokus dan teratur.

“Kita berterima kasih kepada kerajaan dan pada masa yang sama berharap ia benar-benar membantu para veteran kita yang mengalami masalah kesihatan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada Ex 25 RAMD dan PVATM Cawangan Batang Padang, di sini pada Sabtu.

Pada 22 Oktober lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberitahu pihaknya sedang merancang untuk membina hospital khas untuk veteran tentera berkenaan bagi mengiktiraf jasa serta pengorbanan golongan terbabit.

“Idea ini juga merupakan hasil buah fikiran Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang menginginkan sebuah hospital bagi golongan veteran dibina dan ia telah disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Ini juga merupakan satu inisiatif khas untuk anggota ATM yang menyentuh aspek kebajikan, kesejahteraan dan kesempurnaan serta kedudukan anggota tentera,” katanya.