IPOH – Sebanyak 15 buah hospital dan 79 klinik kesihatan di negeri ini menerima peruntukan khas bagi melaksanakan aktiviti kemasyarakatan berkaitan kesedaran penyakit kronik bersama penduduk setempat.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya, setiap hospital menerima peruntukan RM10,000 manakala klinik kesihatan masing-masing menerima RM5,000.

“Peruntukan disalurkan kepada Ahli Lembaga Pelawat Hospital dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) dengan harapan ia dapat membantu pihak hospital dan klinik dalam urusan hal ehwal kebajikan serta memberi kerjasama erat antara masyarakat dan anggota kesihatan.

“Kerajaan yakin bahawa dengan bantuan kewangan ini, mereka akan lebih bersemangat menyumbang bakti khususnya dalam memerangi gejala penyakit kronik  yang semakin membimbangkan kini,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian di Majlis Ramah Mesra Timbalan Menteri Kesihatan bersama Ahli Lembaga Pelawat Hospital dan Panel Kesihatan Klinik Kesihatan Negeri Perak di Hotel Kinta Riverfront, di sini pada Rabu.

Dalam majlis itu Hilmi turut menyampaikan replika cek kepada Ahli Lembaga Pelawat Hospital dan Panel Kesihatan Klinik Malaysia.

Sehingga kini terdapat 2,336 orang Ahli Lembaga Pelawat Hospital di seluruh negara manakala PPKK seramai 14,665 orang keahlian yang berpusat di 856 klinik kesihatan.

Jumlah keahlian PPKK di Perak seramai 1,503 yang merangkumi 79 buah klinik kesihatan selain 15 Lembaga Pelawat Hospital.