PARIT BUNTAR: Fasa ketiga kerja-kerja pembinaan Hospital Parit Buntar yang bermula Januari lalu membuktikan komitmen kerajaan dalam menyediakan infrasosial kepada rakyat, sekaligus menepis dakwaan bahawa projek ini janji kosong semata-mata.

Pembinaan Hospital Parit Buntar juga merupakan projek pertama Jabatan Kerja Raya yang mengaplikasi kaedah Building Information Modeling(BIM),berbanding cara konvensional yang menggunakan Computer-Aided Design (AutoCAD).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek yang menelan belanja RM 136.7 juta di tanah berkeluasan 13 ekar itu dijangka siap pada penghujung tahun 2020.

“Ada beberapa pihak kata projek ini cuma janji kosong kerajaan tetapi hari ini kita buktikan komitmen yang betul-betul dipenuhi, melalui perisian BIM ini ia dapat mengurangkan risiko kesilapan dan pembaziran dalam rekaan bangunan.

“BIM juga dapat memberi manfaat kepada sektor pembinaan tempatan selain memberi kemudahan prasarana terbaik untuk penduduk di Parit Buntar dan Bagan Serai,” katanya kepada pemberita.

Fadillah berkata demikian di Majlis Pecah Tanah Hospital Parit Buntar dan Fasa 3 Kerja-Kerja Bangunan di Kampung Tanah Kebun Jalan Baharu, di sini hari ini.

Yang turut sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Sri Ir. Dr. Roslan Md Taha.

Sementara itu, Ir. Dr. Roslan menjelaskan perisian BIM melibatkan reka bentuk 3D (tiga dimensi) yang mampu menjimatkan masa pembinaan serta mengukur kesesuaian peralatan di dalam bangunan.

Hospital Parit Buntar bakal menempatkan 76 buah katil di bangunan empat tingkat dan dilengkapi dengan perkhidmatan seperti wad lelaki dan perempuan, klinik,farmasi, dewan pembedahan serta unit kecemasan.

“Keluasan keseluruhan tanah di sini ialah 53.56 ekar, tetapi yang dibangunkan Cuma 13.8 ekar sahaja iaitu 25 peratus. Baki selebihnya untuk kita buat pembangunan dan penambahan akan datang termasuk cadangan menjadikan hospital ini sebagai hospital pakar.

“Dari segi pengisian pakar perubatan itu akan dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan, kita sediakan infra dahulu termasuklah kelengkapan jadi tiada masalah untuk panggil pakar datang ke sini,” katanya.

660914dc-ce27-40f2-bc82-f3a007b17396