IPOH – Kerajaan negeri akan mengkaji sebelum memutuskan sama ada wajar atau tidak pemindaan nisbah plot dan ketinggian bangunan di satu kawasan di Jalan Sultan Idris di sini, bagi membangunkan hotel 14 tingkat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ini kerana terdapat pihak yang mahu mengekalkan bangunan warisan tersebut manakala pemaju mahu membangunkan kawasan itu secara moden.

“Pandangan daripada orang ramai saya ambil berat, saya nampak memang kawasan itu adalah kawasan yang hampir boleh dijadikan kawasan warisan, jadi kalau kita nak naikkan bangunan moden di situ mungkin akan mencacatkan sedikit keadaan di sana.

“Saya fikir perlu juga berbincang dengan pihak pemaju dan sebagainya kerana kemajuan juga kita nak tetapi di kawasan mana, jadi sebelum buat keputusan, kerajaan negeri perlu dapatkan ulasan daripada pihak berkenaan terlebih dahulu.

“Saya yakin ia dapat diselesaikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung ke-15 Kesatuan Pekerja-pekerja Lembaga Air Perak di sini hari ini.

Pada Selasa lepas, kira-kira 100 pemegang taruh Pekan Lama Ipoh di sini, menyerahkan memorandum kepada Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Tan Kar Hing bagi menentang pemindaan nisbah plot dan ketinggian bangunan di satu kawasan itu yang telah diwartakan Majlis Bandaraya Ipoh dalam Draf Rancangan Kawasan Khas Pekan Ipoh-Bandar Warisan Bijih Timah 2020 (RKK).

Memorandum itu antara lain merayu agar mempertimbangkan beberapa kebimbangan yang timbul jika permohonan meminda nisbah plot seluas kira-kira 0.157 hektar itu diluluskan.

Jurucakap pemegang taruh, Lim Yi Wen berkata pihaknya difahamkan, pemaju P.K Lee Sdn Bhd memohon untuk meminda nisbah plot berkenaan kepada 1:6.0 dengan tujuan membina sebuah hotel 14 tingkat dengan ruang bawah tanah di atas plot berkenaan.

Mengulas mengenai belanjawan negeri 2019, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri akan memberi peruntukan kepada wakil rakyat daripada Pakatan Harapan dan pembangkang bagi perbelanjaan pengurusan dan pembangunan di kawasan masing-masing.

“Saya fikir sukar bagi Adun untuk menjalankan khidmat mereka kepada rakyat kerana mereka perlu mengeluarkan belanja untuk operasi pejabat, pegawai dan sebagainya.

“Semua pihak mesti bekerjasama tidak kira sama ada pembangkang atau kerajaan mesti memberi fokus untuk mengembalikan kegemilangan negeri tanpa terlalu banyak berpolitik,” katanya.

Kerajaan negeri akan membentangkan belanjawan negeri pada 27 Oktober ini. – Bernama