MELAKA: Seramai 32 wanita asing dikesan menjadikan sebuah hotel bajet, bangunan lama dan rumah urut di Jalan Tun Ali, di sini, sebagai lubuk aktiviti persundalan.

Kegiatan pelacuran semua wanita berusia antara 20 hingga 45 tahun itu bagaimanapun dapat dihidu Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) Jabatan Imigresen yang menyerbu tiga premis terbabit, sebelum menahan mereka dan tiga lelaki dalam Ops Mega 3.0, lewat malam tadi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata operasi disertai 22 anggota termasuk pegawai itu adalah hasil maklumat awam.

Katanya, seramai 35 individu dengan tiga daripadanya lelaki, termasuk seorang warga tempatan diperiksa dalam operasi bermula jam 8.25 malam hingga jam 11.30 malam itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati, semua wanita warga Vietnam, Laos dan Thailand berkenaan melakukan pelbagai kesalahan, antaranya pasport tamat tempoh, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan lokasi permit kerja.

“Turut ditemui, sejumlah wang tunai RM20,000 di dalam laci kaunter dipercayai wang hasil daripada kegiatan pelacuran di ketiga-tiga premis terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mustafar berkata, tiga lelaki yang ditahan adalah penjaga dan pekerja di rumah urut berkenaan.

“Dua daripada mereka adalah warga Bangladesh dan seorang warga tempatan. Ketiga-tiga mereka ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya – berita harian