Kuala Lumpur: Seorang wanita tempatan bersama bayi lelakinya berusia empat bulan antara yang ditahan penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sebuah bilik hotel bajet di sini, awal pagi semalam.

Ketua Pengarah AADK Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin berkata, wanita berusia 29 tahun itu dipercayai menjadikan bilik hotel berkenaan sebagai ‘port’ melepaskan gian dadah jenis syabu bersama dua perempuan serta seorang lelaki.

Katanya, empat individu terbabit akan melalui ujian saringan air kencing sebelum sebarang tindakan susulan dibuat.

“Kalau ada yang didapati negatif dadah (menerusi ujian air kencing), kami akan bebaskan individu berkenaan manakala yang positif (dadah) akan dicadangkan untuk menjalani khidmat rawatan sewajarnya.

“Kita buat penangkapan ini menerusi Op Perdana Siri 1/2018 di sekitar ibu negara selama dua hari bermula kelmarin (Khamis).

“Lebih 100 individu ditahan menerusi operasi berkenaan. Mereka mengambil pelbagai jenis dadah,” katanya – metro