PADANG (SUMATERA BARAT): Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, hari ini menghadiri perasmian Hari Pers Nasional Indonesia (HPN) 2018, yang dirasmikan Presiden Indonesia Joko Widodo.

Sambutan HPN yang disifatkan kedua terbesar selepas sambutan Aidilfitri itu turut dihadiri menteri kabinet, gabenor provinsi dan pemimpin pemimpin utama provinsi tempatan, duta luar negara, tokoh korporat dan lebih 6,000 pengamal media seluruh Indonesia, serta pembabitan penduduk setempat secara tidak langsung.

Turut hadir, Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan delegasi wartawan dari Malaysia menerusi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) yang diterajui Pengurus Besar BERNAMA, Datuk Zulkefli Salleh.

Hadir sama Ketua Pengarang NSTP, Datuk Yushaimi Yahaya dan Pengarang Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

HPN 2018 dianjurkan bersama pengamal media di Indonesia yang terdiri daripada Persatuan Wartawan Indonesia (PWI), Dewan Pers Indonesia, Serikat Penerbit Surat Kabar (SPS), Asosiasi Televisi Swasta Indonesia (ATVSI), Asosiasi Televisi Lokal Indonesia (ATVLI), Persatuan Radio Siaran Swasta Nasional Indonesia (PRSSNI), dan Persatuan Perusahaan Periklanan Indonesia (PPPI).

Sambutan HPN 2018 bermula sejak 7 Februari lalu dengan pelbagai program menarik seperti pameran, konvensyen dan program hiburan yang turut membabitkan penduduk setempat.

Ketua Iswami Indonesia, Asro Kamal Rokan, berkata Hari Pers Nasional disifatkan perayaan kedua terbesar di Indonesia selepas Aidilfitri kerana ia mendapat komitmen penuh pemerintah, pengamal media, penyertaan swasta, tokoh korporat dan akademik, duta duta luar di Indonesia serta penyertaan rakyat setempat.

“HPN diadakan 9 Februari setiap tahun dan semua provinsi amat mengharapkan provinsi mereka menjadi tuan rumah.

“Tuan rumah HPN akan mendapat banyak limpahan manfaat. Pertama, Presiden Indonesia akan merasmikan HPN dan turut melakukan lawatan kerja ke provinsi berkaitan dan banyak pengumuman berkaitan pembangunan untuk penduduk provinsi itu dibuat.

“Kedua, kehadiran tokoh tokoh korporat, liputan media dan program HPN menjana sumber pendapatan yang besar kepada provinsi terbabit, ” katanya yang juga Anggota Dewan Kehormat PWI.

Beliau berkata, rakyat setempat khususnya pengusaha hotel, makanan, pengangkutan akan mendapat manfaat daripada penganjuran sambutan itu, yang diadakan di berlainan kota setiap tahun.

Industri media di Indonesia bermula pada 1937 menerusi penubuhan agensi berita ANTARA pada 13 Disember 1937 dan ia terus berkembang serta bercambah dalam menyalurkan aspirasi rakyat membangkitkan perjuangan kemerdekaan dan pengisian kemerdekaan.

Simbolik kepada penghargaan itu, tanggal 9 Februari diumumkan sebagai Hari Pers Nasional oleh Presiden Indonesia ketika itu, Presiden Soeharto pada 1985. – BERNAMA