IPOH: Lebih ramai pekerja dalam bidang anestesiologi diperlukan di Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, bagi meningkatkan perkhidmatan yang selamat dan berkualiti kepada pesakit.

Ketua jabatan itu, Dr Kavita M Bhojwani berkata, setakat ini jumlah pakar anestesiologi (pakar bius) di HRPB adalah seramai 18 orang manakala pegawai perubatan anestesiologi pula 42 orang.

“Walaupun dibantu oleh 256 orang paramedik anestesia yang bekerja syif, kita masih kekurangan tenaga kerja di dalam bidang ini,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Anestesia Sedunia 2017 anjuran jabatan itu di sini, semalam.

Sambutan Hari Anestesia Sedunia 2017 HRPB dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Perak, Dr Kamaruddin Alias.

Dr Kavita berkata, pada tahun lepas, HRPB telah menjalankan 24,159 kes anestesia termasuk anestesia umum, anestesia separuh dan anestesia setempat dan tahun ini, telah menjalankan kira-kira 17,000 kes anestesia.

Sementara itu, Dr Kamaruddin berkata, HRPB yang julung kali mengadakan sambutan Hari Anestesia Sedunia 2017 di tempat awam adalah untuk membolehkan lebih banyak pendedahan tentang bidang itu diberikan kepada orang ramai.

Sambutan sehari itu menyediakan pelbagai aktiviti antaranya pameran anestesia, simulasi memberi bantuan pernafasan (CPR), saringan perubatan asas, kuiz dan pertandingan mewarna.