IPOH: Penjawat awam di Perak diminta menghayati ibrah atau pengajaran daripada ibadah puasa di bulan Ramadan bagi meningkatkan lagi disiplin dan perkhidmatan mereka.

 

Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu berkata, selama sebulan, Ramadan mengajar erti mentaati perintah Allah untuk berpuasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari dan perkara-perkara yang membatalkan puasa.

 

“Jika direnung dan diamati, ibrah dari ibadah puasa ini mendidik kita untuk patuh kepada arahan Allah SWT untuk tidak makan dan minum di siang hari biarpun kita mampu untuk membeli makan dan minum pada waktu berkenaan.

“Ramadan mengajar kita tentang menjaga disiplin diri biarpun kita boleh mencuri-curi makan ketika jauh dari pandangan mata manusia, tetapi atas kekuatan iman, kita mentaati perintah berpuasa dari Allah SWT kerana kita sedar, di mana pun kita berada, kita tidak terlepas dari pemantauanNya,” katanya ketika berucap pada Jamuan Hari Raya Aidilfitri Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri di Dewan Bankuet di sini, hari ini.

 

Majlis itu telah dimeriahkan dengan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim serta orang-orang kenamaan dan pembesar negeri.

YAB Ahmad Faizal berkata, Ramadan juga mendidik umat Islam untuk memperbanyakkan amalan sunat seperti solat terawih dan bersedekah bagi mengurangkan beban insan-insan yang memerlukan perhatian dan pembelaan.

 

“Maka beruntunglah mereka yang beroleh pengampunan, maghfirah dan pembebasan dari api neraka dari Allah SWT dipenghujung Ramadan dan kembali kepada fitrah kita sebagai hamba yang bersih dari dosa dan noda,” ujarnya.

 

Justeru, beliau menyeru semua penjawat awam negeri Perak untuk sentiasa berpegang kepada disiplin diri yang dipelajari dari madrasah Ramadan dan menerapkan nilai-nilai murni ini dalam urusan kehidupan dan tugasan seharian.

 

Beliau menambah, nilai-nilai seperti sentiasa takutkan Allah dalam perbuatan sama ada secara terbuka atau tersorok dari pandangan manusia, menghormati masa, bersih, cekap dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab, sentiasa memberi lebih dari upah atau gaji yang diterima, bersungguh-sungguh dan istiqomah mestilah menjadi sebahagian dari pegangan setiap dari kita sepanjang masa.

 

“In shaa Allah, andai setiap dari kita memahami ibrah yang kita pelajari sepanjang madrasah Ramadan yang baru berlalu dan berpegang kuat kepada amalam-amalan itu dalam pekerjaan kita, saya amat yakin, keseluruhan jentera kerajaan negeri ini akan menjadi yang terbaik dalam menjalankan amanah rakyat kepada kita,” kata beliau.

 

YAB Ahmad Faizal turut merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu menjayakan jamuan itu yang disertai oleh semua jabatan di negeri ini.

 

Beliau berpendapat, penyelarasan program yang melibatkan semua jabatan di dalam negeri adalah manifestasi kepada nilai kasih sayang dan keharmonian jabatan-jabatan kerajaan yang ada.

“Ia juga menzahirkan hubungan yang erat di antara kepimpinan negeri yang baharu dengan kakitangan awam. Keutuhan hubungan ini pastinya akan menzahirkan kebaikan kepada rakyat jelata hasil perkhidmatan yang bersih, cekap dan amanah,” ujar beliau.

 

Beliau berharap untuk melihat pentadbiran baharu dan jentera kerajaan negeri dapat  bersatu dalam setiap derap langkah untuk merealisasikan harapan rakyat.

 

“Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat, begitulah harapan saya dan pentadbiran ini dalam mengemudi bahtera negeri yang dicintai ini ke arah mengembalikan kegemilangan negeri dan negara yang kita kasihi,” tambah beliau.

1/3