KUALA KANGSAR – Hubungan kekeluargaan dilihat sebagai antara elemen paling penting dan perlu sentiasa dijaga dalam kehidupan manusia.

Timbalan Ketua Pengarah (pengurusan) Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN), Adzhar Ismail berkata, hubungan kekeluargaan perlu sentiasa diberikan perhatian serius oleh semua pihak.

Justeru menurutnya, hubungan berkenaan akan mewajibkan agar nilai-nilai murni serta sifat kasih sayang dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat.

“Oleh itu, tujuan kita hari ini berikan kesedaran kepada masyarakat supaya beri perhatian serta kasih sayang kepada keluarga.

“Akhir-akhir ini kita memang galakkan nilai-nilai murni wujud dalam kalangan masyarakat, khususnya bagi dalam kalangan generasi muda.

“Ini kerana, hubungan kekeluargaan ini dilihat kian terhakis pada hari ini terutamanya dengan perkembangan teknologi maklumat; contohnya penggunaan telefon pintar hingga menyebabkan komunikasi keluarga itu terganggu,” katanya kepada Sinar Harian.

Adzhar berkata demikian sempena sempena Perasmian Sambutan Bulan Keluarga dan Bulan Kaunseling Kebangsaan Tahun 2018 Peringkat Negeri Perak di Dewan Serbaguna USAS, hari ini.

Secara keseluruhannya, perasmian berkenaan adalah lanjutan daripada Perasmian Bulan Kaunseling Kebangsaan pada 1 Oktober lalu serta Sambutan Bukan Keluarga Kebangsaan yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 3 November.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pasca Siswazah Universiti Sultan Azlan Shah (Usas), Dr Kamaruddin Yaacob berharap agar penganjuran program berkenaan dapat memberikan banyak manfaat, khususya kepada penuntut.

Malah Kamaruddin turut berharap agar progam seumpamanya dapat dianjurkan lagi di universiti berkenaan pada masa hadapan.

“Sebelum ini, kita juga menjadi tuan rumah untuk World Conference of Islamic Conference of Islamic Thoughts.

“Apa pun, terima kasih kepada LPPKN kerana telah berjaya laksanakan program besar ini dengan begitu baik di Usas.

“Tambahan pula program berkenaan dilihat memberikan peluang kepada pelajar Usas menimba pengalaman khususnya bagi pelajar Usas yang mengikuti program kaunseling,” katanya.