SINGAPURA: Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng Eng Hen hari ini mengadakan pertemuan rasmi pertama dengan rakan sejawatannya dari Malaysia yang baru dilantik Mohamad Sabu di luar Dialog Shangri-La (DSL) ke-17 di sini.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pertahanan Singapura berkata pada pertemuan itu, kedua-dua menteri memperakui hubungan pertahanan yang baik dan kukuh sejak sekian lama antara Singapura dan Malaysia yang turut menyaksikan perkembangan baik termasuk yang terkini eksesais antara tentera udara kedua-dua negara.

Menurut kenyataan itu, Dr Ng dan Mohamad juga memperakui kerjasama baik kedua-dua negara menerusi platform serantau seperti Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus serta Aturan Pertahanan Lima Kuasa (FPDA).

Pada pertemuan itu, Dr Ng dan Mohamad turut berbincang tentang cabaran serantau seperti situasi di wilayah Rakhine.

Menurut kenyataan itu, pasukan pertahanan Singapura dan Malaysia sentiasa berinteraksi merangkumi pelbagai kegiatan termasuk eksesais dua hala, lawatan dan pertukaran, kursus kehadiran silang serta kegiatan berbilang hala.

Interaksi yang kerap ini memperkukuh persefahaman bersama dan hubungan profesional antara warga pasukan pertahanan kedua-dua negara selain menegaskan hubungan pertahanan yang baik sejak sekian lama antara kedua-dua negara.

Mohamad berada di sini dalam rangka lawatan kerja tiga hari sejak 1 Jun bagi menghadiri SLD ke-17.

Ini adalah lawatan sulung beliau ke republik ini atas kapasitinya sebagai menteri pertahanan.

Dalam lawatannya, Mohamad antara lain melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Penyelaras Keselamatan Negara, Teo Chee Hean.

Mohamad turut mengadakan pertemuan dengan menteri-menteri pertahanan FPDA pada sarapan tidak formal yang dihoskan oleh Dr Ng. – BERNAMA