KUALA LUMPUR: Amaran waspada dikeluarkan Jabatan Meteorologi (Met Malaysia) di Kelantan, Pahang, Terengganu dan Johor berikutan hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlaku esok.

Hujan lebat berserta angin kencang dijangka berlaku di Kota Bharu, Pasir Puteh, Machang, Bachok, Pasir Mas, Tumpat dan Tanah Merah di Kelantan, Kuantan, Rompin dan Pekan di Pahang, Terengganu dan Mersing, Johor.

Sementara ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang dijangka berlaku di Segamat, Tangkak , Muar, Batu Pahat, Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai dan Pontian di Johor.

Keadaan yang sama dijangka berlaku di Ranau, Kudat dan Sandakan di Sabah pagi ini.

Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40-50 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur sehingga Rabu ini.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Selain itu, pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut yang dijangka sehingga Rabu ini.

Met Malaysia turut melapor ribut petir di Sungkai, Perak, Melaka, Johor Barat, Sarawak dan Sabah yang dijangka berterusan sehingga pagi ini.

Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot kecil. -BHOnline