HUJAN lebat sejak 5 pagi hari ini, menyebabkan tanah runtuh di kawasan berhampiran Rumah Panjang Encik Nambi, Saratok.

Kejadian disedari ketua rumah panjang berkenaan pada 9 pagi sebelum memaklumkan kepada bomba untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, tanah runtuh berlaku hanya beberapa meter dari rumah panjang berkenaan sehingga menggemparkan penduduk.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu 10.01 pagi selepas ketua rumah panjang berkenaan datang ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi pemantauan.

“Tanah runtuh berlaku selepas strukturnya lemah berikutan hujan lebat sejak 5 pagi.

“Kejadian menyebabkan kawasan seluas 56 meter persegi terjejas dan ia berlaku beberapa meter dari rumah panjang berhampiran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jurucakap itu berkata, pasukan bomba, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan sebuah syarikat kontraktor yang dipanggil mengambil tindakan segera dengan menutup kawasan runtuhan menggunakan kanvas bagi mengelak kawasan terjejas lebih besar.

Setakat ini, katanya, tiada sebarang pergerakan baharu dikesan di kawasan tanah runtuh berkenaan namun pemantauan berterusan akan tetap dijalankan.

“Penduduk dinasihatkan bersedia untuk berpindah jika runtuhan menjadi kritikal bagi mengelak risiko kecederaan dan kehilangan nyawa,” katanya – hmetro