TAIPING: Klinik Kesihatan Taiping di Jalan Tupai di sini terpaksa ditutup petang Rabu apabila sebahagian siling di aras satu bangunan berkenaan runtuh berikutan hujan lebat.

Insiden pada 2 petang mencetuskan keadaan panik buat beberapa kakitangan di bahagian makmal serta ‎pesakit yang sedang mendapatkan rawatan ketika itu.

Kejadian siling runtuh itu sempat dirakam dan dimuat naik di media sosial yang kemudiannya dikongsi netizen dengan meluas.

 Katanya, penadah hujan di tingkat atas didapati tidak dapat menahan limpahan air hujan menyebabkan siling di ruang menunggu makmal klinik runtuh.‎

“Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan yang berlaku kepada kakitangan hospital mahupun pesakit.

“Pihak Jabatan Kerja Raya ( JKR) dan anggota Bomba telah membuat semakan dan ruang berkenaan telah ditutup sementara bagi sebarang operasi,”katanya ketika dihubungi.

Katanya, operasi di Klinik Kesihatan Taiping terpaksa dihentikan sepenuhnya hingga kerja pembaikan yang dijangka siap sepenuhnya pada 13 November ini dilaksanakan.

Dr Juita berkata pihak kejuruteraan JKR dan Jabatan Kesihatan Negeri sedang dalam proses menilai kerosakan untuk pembaikan.

Pesakit di klinik itu kemudiannya dipindahkan ke Hospital Taiping dan klinik kerajaan lain, termasuk di Pokok Assam, Simpang dan Kamunting.

Klinik Kesihatan Taiping merupakan klinik kerajaan terbesar daripada 5 klinik kerajaan di bandar Taiping, Perak dan dibuka pada 2007.

Sejurus perasmian, ianya digunakan sebagai alternatif perkhidmatan pesakit luar Hospital Taiping yang dipindahkan ke klinik itu bagi memenuhi pertambahan pesakit luar.

Menurut statistik Kementerian Kesihatan, kira-kira 1,000 pesakit mengunjungi klinik itu setiap hari sekaligus menjadikan ia antara klinik kerajaan paling sibuk di negara ini.

Kejadian yang berlaku pada tengah hari itu bagaimanapun tidak mengakibatkan kecederaan, namun berlaku kerosakan harta benda.

Taiping yang terkenal dengan bandar paling basah negara merupakan salah satu kawasan tadahan air hujan selain Bukit Gantang dan Larut.