IPOH : Hujan renyai-renyai yang turun sejak petang tidak menghalang warga Ipoh untuk mengambil bahagian di dalam Sambutan Ambang Tahun Baru 2018 di Dataran Bandaraya Ipoh, di sini, malam tadi.

Lagu Aku Penghiburmu dan Gadis Melayu yang disampaikan oleh Datuk Jamal Abdillah menjadi pelengkap kepada sambutan.

Persembahan bertenaga dari penghibur lagenda kelahiran negeri Perak itu berjaya menggamatkan suasana malam yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung.

Walaupun hujan turun renyai-renyai sejak petang, ia tidak membuatkan hadirin yang berpayung berganjak memandangkan cuti yang masih berbaki sehari lagi sempena Tahun Baharu esok.

Tidak ketinggalan penyanyi yang tular dengan lagu ‘Pematah Hati’, Nabila Razali turut mempersembahkan dua buah lagu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohd Radzi hadir bagi menyempurnakan perasmian program.

Selain itu, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan kebudayaan pelbagai kaum dan persembahan gabungan khas pelbagai kaum.

Pengiraan detik ambang Tahun Baharu 2017 dan pertunjukan bunga api menjadi acara kemuncak kepada perjalanan program.