IPOH: Hujan lebat yang disertai angin kencang yang berlaku di beberapa kawasan di bandaraya Ipoh, pada Ahad petang, telah menyebabkan pokok tumbang dan merosakkan harta benda.

Kejadian menyebabkan pintu kaca sebuah ruang pameran kereta di Jalan Kuala Kangsar dan restoran makanan segera di Silibin pecah.

Selain itu, tular di media sosial berlaku hujan air batu di sekitar Kampung Ahmad Said, Manjoi.

Hujan lebat dengan angin kencang turut menyebabkan beberapa batang pokok di Taman Pertama, Taman Rishah dan Taman Seri Tahan, Silibin sehingga menimpa beberapa buah rumah dan dua buah kenderaan milik penduduk

Pemilik kedua-dua kenderaan tersebut, Muhammad Iqbal Dinzly Muhammad Saipuddin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang ketika beliau tiada di rumah.

“Apabila saya balik, didapati sebatang pokok tumbang dan menghempap dua kereta dan awning rumah saya,” katanya kepada Astro Awani.

Muhammad Iqbal berkata, ekoran kerugian yang terpaksa ditanggung, beliau akan membuat tututan ganti rugi daripada pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

“Saya juga berharap agar pihak MBI dapat membuat kerja-kerja penyelenggaraan dengan mencantas pokok-pokok yang terlalu besar kerana ia boleh mendatangkan bahaya,” ujarnya.

Anggota bomba dan penyelamat dengan bantuan kakitangan MBI bergegas ke tempat kejadian untuk memotong dan mengemas pokok-pokok yang tumbang.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut turun padang melawat kawasan kejadian.