KUALA KANGSAR: Hujan renyai-renyai yang turun sejak jam 3 petang tidak menghalang lebih 2,000 orang membanjiri Persisiran Sayong di sini untuk menghadiri Majlis Bersama Rakyat Sempena Sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak 2016.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis itu untuk bersama-sama rakyat jelata yang tiba seawal jam 3.30 petang Jumaat.

Baginda berdua tiba kira-kira jam 5.15 petang.

Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah dan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, barisan Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan.

 Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran dan doa oleh pegawai agama Kuala Kangsar, Syed Mohd Azwan Syed Azman diikuti dengan majlis santapan.

Majlis turut diserikan dengan persembahan puisi bertajuk ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’ oleh guru pembimbing sastera, bahasa, seni dan budaya SMK Temenggong, Kati, Suhaimi Ahmad.

Selain itu turut diadakan persembahan gambus daripada Kumpulan Gambus TMC Klasik Parlimen Padang Rengas dan persembahan nyanyian Sekolah Seni Malaysia Perak dan SMK Muhibbah Subgai Siput.

Majlis diserikan lagi dengan beberapa persembahan iringan iaitu gendang dan silat oleh Kumpulan Busana Perak koir Kumpulan Koir Majlis Perbandaran Kuala Kangsar dan persembahan orkestra Kumpulan Orkestra Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Majlis Bersama Rakyat selesai apabila Sultan Nazrin dan Tuanku Zara Salim berangkat meninggalkan majlis kira-kira jam 6.15 petang.