KUALA LUMPUR: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) berpendapat perlu ada mekanisme terbaik dalam mengenakan hukuman kepada pesalah kes pengedaran dadah bagi mencegah kegiatan itu.

Ketua Pengarah AADK Datuk Seri Zulkifli Abdullah, berkata apa saja hukuman yang dilaksanakan harus dapat mengekang kegiatan itu daripada terus berleluasa.

“Terpulang kepada kerajaan untuk menentukan jenis hukuman dikenakan terhadap pesalah membabitkan kes pengedaran dadah.

“Namun, hukuman yang dikenakan haruslah setimpal dengan kesalahan dilakukan bagi memberi kesedaran kepada semua pihak bahawa setiap kesalahan dilakukan ada risiko dan hukuman menanti,” katanya pada Majlis Simposium Integriti di Ibu Pejabat AADK di Sungai Merab, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori membabitkan kesalahan mengedar dadah iaitu Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sementara itu, Zulkifli memaklumkan pihaknya akan mendedahkan 178 lokasi berisiko tinggi di seluruh negara bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai jumlah penagih di kawasan berkenaan.

“Melalui Kempen Perangi Dadah Habis-habisan, kami akan melakukan ‘pembersihan’ di 178 lokasi berisiko terbabit. Kawasan yang berisiko itu ditentukan mengikut kriteria ditetapkan bagi membanteras dan mengurangkan permintaan serta penawaran dadah.

“Dalam masa terdekat, kami akan memuat naik senarai kawasan itu di laman sesawang AADK untuk perhatian semua pihak termasuk media.

“Kami mahu masyarakat mengetahui dan bersama-sama membantu ‘membersihkan’ kawasan masing-masing,” katanya – berita harian