KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan hukuman mati mandatori di negara ini masih kekal dan belum dimansuhkan.

Perdana Menteri berkata, walaupun ada cadangan untuk memansuhkan hukuman itu, ia tidak bermaksud hukuman berkenaan sudah dihapuskan.

“Kita perlu menunggu sehingga akta berkaitan diluluskan. Kerajaan belum meluluskan undang-undang berkaitan pemansuhan hukuman mati,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Minggu lalu, Kabinet memutuskan yang pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan akan dimansuhkan di negara ini dan susulan itu, semua pelaksanaan hukuman mati akan ditangguhkan sehingga pemansuhan itu berkuat kuasa.

Kabinet seterusnya menimbang mengenakan hukuman penjara minimum 30 tahun jika hukuman mati mandatori dimansuhkan.

Ketika ini ada 18 kesalahan jenayah yang memperuntukkan hukuman mati, termasuk mengedar dadah, melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, keganasan, membunuh, membunuh mangsa ketika penculikan, memiliki dan menggunakan senjata api, merogol sehingga menyebabkan kematian dan merogol kanak-kanak.

Pada masa ini seramai 1,267 banduan berdepan hukuman mati di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952, tetapi hukuman itu tidak dilaksanakan sejak 2014.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan membebaskan 11 etnik Uighur yang menyusup masuk ke negara ini sejak November tahun lalu selepas didapati tidak melakukan sebarang kesalahan dalam negara.

“Mereka tidak melakukan kesalahan di negara ini, maka mereka dibebaskan,” katanya.

November tahun lalu, seramai 25 tahanan etnik Uighur di Thailand melarikan diri dengan menggunakan selimut untuk memanjat keluar daripada penjara.

Hanya 11 orang yang berjaya melarikan diri sehingga ke kawasan pedalaman di negara ini melalui sempadan Malaysia dan Selatan Thailand.

China sebelum ini mendesak Malaysia menghantar pulang 11 etnik Uighur itu tetapi kesemua dakwaan terhadap 11 etnik Uighur digugurkan atas budi bicara pihak pendakwa raya dan mereka kini berada di Turki sejak Jumaat lalu – berita harian