IPOH: Mahkamah Tinggi Ipoh  hari ini menambah hukuman penjara daripada sehari kepada 15 bulan dan mengekalkan hukuman denda RM4,000 terhadap bekas pembantu kantin atas tuduhan mencabul seorang murid 12 tahun, tiga tahun lalu.

 

Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Timbalan Pendakwaraya How May Ling bagi mengetepikan hukuman yang diputuskan Mahkamah Majistret Seri Manjung pada 29 Ogos, tahun lalu.

 

Tertuduh Mohd Yunus Hassan, 53, sebelum ini dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM4,000 atau penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenan.

 

Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada enam orang anak itu didakwa secara kekerasan jenayah mencabul kehormatan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun.

 

Mohd Yunus didakwa memeluk dan mencium mulut mangsa tanpa kerelaan di tandas lelaki sebuah sekolah di Manjung kira-kira jam 3.30 petang, 18 November 2014.

 

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.

 

Tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, M Kathan.