IPOH – Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menambah hukuman penjara daripada sehari yang dikenakan ke atas seorang bekas pembantu kantin sekolah atas kesalahan mencabul seorang murid lelaki berusia 12 tahun tiga tahun lalu kepada 15 bulan.

Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali membuat keputusan itu terhadap Mohd Yunus Hassan, 52, selepas membenarkan rayuan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling.

Che Mohd Ruzima turut mengekalkan hukuman denda sebanyak RM4, 000 atau penjara 12 bulan terhadap tertuduh yang diputuskan Mahkamah Seri Manjung 29 Ogos tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara kekerasan melakukan jenayah mencabul kehormatan seorang murid 12 tahun dengan memeluk dan mencium mulut mangsa tanpa kerelaan di tandas lelaki sebuah sekolah di Ayer Tawar, Manjung pada 18 November 2014.

-Sinarharian