IPOH: Hukuman sebat di dalam Islam adalah bertujuan untuk memberi pengajaran dan pendidikan kepada pesalah dan orang ramai.

Oleh sebab itu, kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, rotan yang digunakan hendaklah sederhana saiznya, tidak terlalu besar dan tidak pula terlalu kecil.

Di samping itu, kata beliau, ketika merotan, tangan tidak boleh diangkat terlalu tinggi kerana ia bukan untuk membunuh.

Menurut beliau, hukuman sebatan yang telah dijalankan terhadap pasangan kekasih `songsang’ di Terengganu baru-baru ini sebenarnya adalah hukum Islam tetapi tidak sepenuhnya.

“Sebenarnya hukuman sepatutnya 100 rotan tetapi rotannya bersaiz sederhana, tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil dan tidaklah tujuannya untuk membunuh tetapi hanya untuk tujuan mengajar,” katanya kepada pemberita selepas menutup program Wacana Kesejagatan Ummah di Dewan Bandaran Ipoh, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa hukuman sebat terhadap dua wanita di Terengganu itu memberikan gambaran buruk terhadap agama Islam.

Dalam catatan di Facebook, Dr Mahathir berkata, ia seharusnya ditangani dengan nasihat terlebih dahulu kerana ia kes pertama seumpamanya.

Harussani menafikan hukuman sebat itu turut menggambarkan Islam sebagai bengis.

Menurut beliau, pengajaran hukuman itu harus dilihat dari segi hikmah undang-undang dan tidak harus dilihat dari sudut politik.

“Undang-undang dalam Islam adalah untuk pengajaran, kalau pengajaran itu tidak terpakai, maka itu undang-undang sampai kepada pembunuhan,” tambahnya.

Sepasang kekasih ‘songsang’ dihukum denda RM3,300 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, baru-baru ini, kerana cuba melakukan hubungan sejenis ketika ditahan dalam sebuah kereta, di Dungun, pada April lalu.

Keputusan dibuat Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail selepas pasangan itu mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah.