Jaringan minit akhir dari awang import, Vladislav Mirchev memberikan 3 mata penuh buat Perak yang berhadapan dengan Melaka di laman sendiri malam tadi.

Perak yang beraksi tanpa sokongan penyokong setia akibat dikenakan hukuman beraksi 2 perlawanan tanpa penonton bermula dengan agak goyah apabila aksi kemas yang diperagakan oleh pasukan pelawat itu jelas menenggelamkan aksi anak buah Karl Heinz Weigang.

Terikat di babak pertama

Perak terlebih dahulu membuka tirai jaringan berpunca dari sepakan percuma Nazrin Nawi yang ditanduk masuk oleh Thiago Junio De Aquino bagi jaringan pendahuluan pada minit ke-30.

Jeon Woo Young berjaya menyamakan kedudukan di minit ke-43 setelah berjaya menyambar peluang terhidang akibat situasi kelam kabut dihadapan gol bagi membolosi gawang Perak yang dikawal Hafizul Hakim Khairul Nizam.

3 Gol terhasil selepas aksi bersambung

Beberapa pertukaran dilakukan Karl Heinz Weigang pada awal babak kedua apabila memasukkan Kenny Pallraj dan Amirul Azhan Aznan bagi menyaingi aksi pantas yang ditampilkan Melaka.

Yashir Armando Pinto Islame yang mendapat umpanan dari Shahrul Saad berjaya menyudahkan peluang terhidang bagi kembali mendahului lawan pada minit ke-63.

Melaka sekali lagi berjaya memadamkan pendahuluan tersebut apabila pemain tinggi lampai, Izzaq Faris Ramlan menanduk cantik hantaran lintang rakan sepasukan beliau bagi kedudukan terikat 2-2 pada minit ke-78.

Jaringan kemenangan Mirchev cetus kontroversi

Ketika permainan dilihat bakal berakhir dengan keputusan seri, Vladislav Mirchev yang tidak dikawal berjaya menghasilkan jaringan kemenangan pada masa kecederaan.

Jaringan tersebut mendapat bantahan dari pemain serta pegawai Melaka apabila mereka mengatakan Mirchev berada dalam kedudukan ofsaid.

Namun pengadil perlawanan, Nagor Amir Noor Muhammad kekal dengan keputusan mengesahkan jaringan tersebut untuk kemenangan berpihak buat tuan rumah.

Perak ditangga kedua Liga Super 2017 selepas 3 perlawanan

Dengan kemenangan ini menyaksikan Perak berada ditangga kedua apabila berkongsi 7 mata bersama pendahulu liga, Pahang namun pasukan dari pantai timur itu berkelebihan jaringan untuk berada di tangga teratas.  – Arena Seladang