KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan hari ini mengesahkan mengedar pekeliling larangan terhadap Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Husam Musa dan Pengerusi Amanah negeri, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, daripada memasuki semua Jabatan Kerajaan Negeri.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nazran Muhamad, berkata pekeliling itu diedarkan kepada lebih 2,000 kakitangan kerajaan negeri, semalam.

Katanya, kedua-dua individu itu turut tidak dibenarkan memasuki enam istana di negeri ini.

“Saya menerima arahan untuk menghalang mereka dari memasuki Kompleks Kota Darulnaim, semua jabatan negeri dan juga enam istana termasuk Istana Telipot, Istana Kota Lama dan Istana Balai Besar.

“Jika mereka ingin memasuki tempat ini kerana urusan penting, mereka mesti mendapatkan kebenaran,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Ketika ditanya mengenai punca pekeliling dikeluarkan, Nazran bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Wan Abdul Rahim ketika dihubungi, berkata beliau sedih dengan keputusan itu namun menerimanya dengan hati terbuka.

“Sudah tentu perkara itu memeranjatkan saya dan sebagai rakyat yang setia, saya akan mematuhi arahan itu. Saya mengetahui perkara ini selepas ianya viral dalam media sosial sejak semalam.

“Saya percaya Husam juga mengetahui tentang larangan itu dan menerimanya,” katanya – berita harian