IPOH – Calon Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah telah menafikan dirinya terlibat berkaitan dakwaan kononnya calon Barisan Nasional (BN) mengeluarkan ucapan politik dan meraih undi di dalam sebuah sekolah jenis kebangsaan di Tanah Hitam, di sini pada Ahad lalu.

Bekas Menteri Kewangan II itu berkata, beliau tidak sesekali akan melakukan perkara begitu dan menafikan sekeras-kerasnya pernah ke mana-mana sekolah untuk menyampaikan ucapan politik serta meraih undi sebagai calon sebaik parlimen dibubarkan.

“Kita tidak bermain permainan sebegitu, apa sebab kita nak lakukan begitu? Saya sendiri ke Tanah Hitam itu dua hari lalu bersama Isteri dan kita tidak dalam Sekolah.

“Mereka (Sekolah) tidak menjemput kita datang pun kenapa saya nak hantar wakil ke Sekolah pula, jika ketika menjadi ahli Parlimen dulu ya memang ada , tetapi selepas pembubaran tidak lagi. Melainkan mereka mengunakan video yang dulu-dulu,” katanya pada satu sidang media khas di sini pada Jumaat.

Terdahulu, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Ulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad dari PKR, telah membuat satu laporan polis di Ipoh mendakwa kejadian tersebut.

“Saya mendapat aduan dari pengundi-pengundi Tanah Hitam, Ahad lalu, sekitar jam 10 pagi BN telah mengadakan ucapan politik dan meraih undi-undi dalam sekolah jenis kebangsaan.

“Tindakan tersebut menyalahi Akta Suruhanjaya Pilihanraya kerana BN menyalahgunakan platform Sekolah untuk berkempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14),” menurut laporan polis yang diedarkan kepada media.

Muhamad Arafat juga memohon pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat melakukan perkara terbabit

BERITA BERKENAAN :¬†‘Arahan SPR Untuk Semua, Bukan PKR Sahaja’