IPOH: Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yakin Barisan Nasional (BN) akan terus kekal di Tambun dengan majoriti lebih besar.

Beliau yang dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi Parlimen Tambun berkata, banyak pembangunan yang telah dilakukan BN di kawasan itu, sejak dari dulu lagi.

“Malah, orang Tambun juga telah mengenali wakil rakyat BN yang telah memberi khidmat selama ini,” katanya kepada pemberita selepas penamaan calon di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Jelapang, dekat sini, hari ini.

Pada penamaan calon itu, selain Husni, dua calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Md Hanafiah dan DUN Manjoi, Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin turut menyerahkan borang pencalonan masing-masing.

Pada Pilihan Raya Umum ke 13 lalu, Husni menang dengan majoriti 9,325 undi manakala Aminuddin menang dengan majoriti 6,118 undi dan Ziad menang di Manjoi dengan majoriti hanya 132 undi.

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan, Ahmad Faizal Azumu yang bertanding di Parlimen Tambun atas tiket PKR berkata, beliau yakin rakyat Malaysia, khususnya pengundi Tambun telah faham asas perjuangan mereka.

“Rakyat juga telah faham isu-isu yang kami bangkitkan di mana ia adalah perjuangan semua pihak, terutama rakyat,” ujarnya.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal terkejut kerana terdapat calon bebas yang akan turut bertanding di DUN Hulu Kinta.