PADANG TERAP: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membongkar taktik digunakan penyeludup ketum yang menjadi kawasan hutan di sekitar sempadan Malaysia-Thailand, di sini, sebagai lokasi transit kegiatan haram itu.

Ia susulan penemuan 140 kilogram (kg) daun ketum dianggar bernilai RM12,000 oleh sepasukan anggota Batalion 2 Rejimen Renjer Diraja (RRD) ketika melakukan rondaan di kawasan hutan berhampiran Pos Sahara di Durian Burung, dekat sini, pagi tadi.

Panglima 6 Briged, Brigedier Jeneral Abdul Aziz Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, tujuh anggota RRD diketuai Koperal Christnichael Binor, menemui satu longgokan mencurigakan yang ditutupi dengan kain berwarna hijau di dalam kawasan hutan berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati longgokan itu berisi lima guni siap diikat yang kemudian disahkan mengandungi kira-kira 280 ikat daun ketum dengan anggaran berat 500 gram setiap satu.

“Kita percaya semua stok daun ketum itu cuba diseludup ke negara jiran dan ia sengaja ditinggalkan di kawasan itu, berkemungkinan akan ada pihak ketiga yang mengambil bahan larangan itu sebelum dibawa ke negara jiran.

“Pemeriksaan lanjut dilakukan bagaimanapun gagal mengesan pihak yang bertanggungjawab ke atas semua lima guni berisi daun ketum itu, sebelum ia dibawa ke Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata, pihaknya percaya penyeludupan daun ketum semakin menjadi-jadi sejak akhir ini berikutan bahan itu mendapat permintaan tinggi di negara jiran, selain faktor penanaman tumbuhan itu diharamkan di Thailand.

Bagaimanapun, katanya ATM akan terus meningkatkan rondaan di kawasan sempadan negara bagi memastikan kegiatan penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dapat dikekang – berita harian