KUANTAN: Orang ramai yang selesai berbuka puasa di Taman Perumahan Indera Sempurna di sini, gempar selepas menyaksikan kebakaran hutan gambut di kawasan perumahan mereka, semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, seorang penduduk yang hanya mahu dikenali Mohd Hisyam, 37, berkata kebakaran hutan berkaku kira-kira 200 meter dari kawasan rumahnya.

Katanya, ketika kejadian dia bersama keluarga baru selesai berbuka puasa sebelum melihat api menjulang tinggi dan menerbangkan debu dari kawasan hutan gambut berkenaan.

“Beberapa minit kemudian beberapa jentera bomba tiba bagi memadam kebakaran… saya tidak pasti apa punca kebakaran, tetapi kejadian ini adalah kali pertama,” katanya ketika ditemui NSTP, di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bomba Pahang, Mohd Sani Harul, berkata kebakaran hutan gambut itu membabitkan keluasan kira-kira 13 hektar.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.38 malam sebelum jentera pertama tiba 10 minit kemudian.

“Kawasan hutan itu adalah tanah persendirian… punca sebenar kebakaran masih lagi disiasat.

“Pihak bomba dengan kekuatan 11 pegawai dan anggota bersama tiga jentera berjaya mengawal kebakaran selepas lima jam operasi,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemantauan di lokasi hutan berkenaan diteruskan lagi hari ini bagi memastikan tiada sisa api yang boleh mencetuskan kembali kebakaran – berita harian