KUALA LIPIS: Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menitahkan supaya kawasan hutan di Merapoh yang diluluskan untuk pembangunan kawasan pertanian diwartakan sebagai hutan simpan kekal.

Tengku Abdullah bertitah, langkah itu perlu memandangkan Hutan Merapoh berada dalam kawasan pelancongan yang mempunyai pelbagai khazanah alam semula jadi dan mampu menarik kunjungan pelancong.

download (89)

“Saya hendak kawasan ini dibaiki semula. Kawasan hutan belum diteroka ditukarkan status kepada hutan simpan kekal supaya tidak diteroka pada masa depan,” titahnya selepas menerima taklimat dalam lawatan ke kawasan pembalakan di Hutan Merapoh dekat sini, hari ini.

 

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Pengarah Perhutanan Negeri, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian negeri Pahang(PKPP), Datuk Wan Bakri Wan Ismail.

Kawasan Hutan Merapoh yang meliputi keluasan 687 hektar yang diberi hak milik kepada PKPP sejak 1992 mula dibangunkan untuk pembangunan kelapa sawit dengan proses pembalakan bermula pada Jun tahun lalu.

Bagaimanapun, ia dihentikan pada 15 November 2017 kerana gagal menyediakan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) kepada Jabatan Alam Sekitar mengikut Perintah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Dalam tempoh itu, dianggarkan 219 hektar atau 30 peratus kawasan hutan berkenaan sudah diteroka, manakala 468 hektar belum diteroka yang kebanyakannya adalah tanah tinggi dan berbukit.

Tengku Abdullah turut meminta supaya kawasan hutan yang sudah diteroka perlu ditanam semula dengan pokok untuk pemulihan semula dan mahu ia dilakukan dengan kerjasama agensi kerajaan serta swasta.

“Semua agensi termasuk kerajaan dan swasta digalak memainkan peranan dalam pemuliharaan semula hutan yang sudah diteroka sama ada yang berlesen atau haram.

“Masyarakat setempat juga perlu menjadi mata dan telinga serta melaporkan sebarang aktiviti penerokaan hutan yang mencurigakan kepada pihak berkuasa” titahnya – berita harian