KUANTAN: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang mengesahkan motif pembunuhan seorang pembantu tadbir Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang yang mati dibunuh di rumahnya di Lorong Pandan Indah 1/3 Perumahan Pandah Indah, kelmarin, disebabkan hutang dan masalah peribadi.

Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad, berkata siasatan pihaknya mendapati berlaku pertengkaran antara mangsa dan seorang suspek lelaki berusia 35 tahun di rumah sebelum mangsa dibunuh dengan kejam.

“Kita boleh sahkan ia disebabkan hutang dan masalah peribadi…mangsa desak suspek untuk bayar tetapi berlaku pertengkaran sebelum mangsa dibunuh,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.30 malam kelmarin, M Suhairi A Wahab, 35, ditemui di atas tilam dengan dilitupi kain putih selepas berlaku kebakaran di biliknya.

Siasatan lanjut mendapati terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala dan muka selain kesan terbakar di bahagian badan.

Susulan itu, JSJ Pahang menahan dua suspek lelaki termasuk rakan serumah mangsa berusia 34 tahun.

Mohd Zakaria berkata, pihaknya percaya mangsa dipukul menggunakan objek tumpul sebelum bilik tidurnya dibakar.

“Suspek juga mengaku mengambil telefon bimbit mangsa dan menghantar pesanan kepada rakan serumahnya supaya jangan mengunci pintu rumah selepas kejadian itu,” katanya.

Beliau berkata, suspek utama itu kini direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.