IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menjelaskan bahawa baki sebenar hutang kerajaan negeri sehingga kini hanya tinggal RM55.5 juta.

Beliau berkata, ia adalah hutang lama untuk beberapa projek seperti perumahan awam, pembentungan, rancangan pembangunan perusahaan, ladang hutan dan kompleks Dewan Undangan Negeri.

Menurut Dr Zambry, kerajaan negeri juga telah membuat bayaran balik mengikut jadual yang telah ditetapkan, tanpa sebarang kelewatan.

Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan Wong Kah Who (DAP – Canning) ketika perbahasan yang menggambarkan seolah-olah hutang kerajaan negeri semakin meningkat.

“Perak adalah antara negeri yang dianggap tidak mempunyai beban hutang yang tinggi dan saya telah menjelaskan.

“Malah pihak Jabatan Audit telahpun membuat pengumuman bahawa dari segi pengurusan hutang, kita adalah antara yang terbaik dalam negara…malah kalau ada hutang yang sikit itupun, kita menjadi pembayar hutang yang terbaik,” katanya dalam sidang media semasa Sidang DUN Perak pada Khamis.

Dr Zambry menjelaskan, hutang air yang ditimbulkan oleh wakil rakyat pembangkang itu, sebenarnya adalah di bawah perjanjian khas yang dibuat oleh kerajaan Persekutuan sebelum dilakukan migrasi.

“Hutang air ini yang diberi pinjaman dulu oleh pihak kerajaan Persekutuan dibuat proses migrasi…tetapi dalam konteks negeri Perak, proses migrasi masih berjalan dan pemberian hutang yang belum diberikan, ketika perjanjian ditandatangani dulu, masih berjalan.

“Jadi itu yang kita tengok dalam rekod, hutang itu ada, tetapi ia bukan hutang kerajaan negeri tetapi kerajaan negeri bertindak bagi pihak Lembaga Air Perak,” tambahnya.

Beliau memberitahu, sehingga kini hutang dalam akaun Lembaga Air Perak (LAP) hanya tinggal RM248 juta, berbanding hutang asal, RM1.2 bilion sebelum proses migrasi.

Menurutnya, hutang itu juga dijangka selesai menjelang tahun 2018.