IPOH – Ibarat pesta keraian.Itu gambaran diberikan seorang warga emas, Halimah Meor Mohd Baki, 89, yang berkongsi detik kemeriahan sambutan kemerdekaan, 31 Ogos 1957 lalu.

Meskipun tidak bersama ribuan penduduk Tanah Melayu di Stadium Merdeka, namun kegembiraan detik bersejarah itu tetap diraikan mereka yang berada di Ipoh.

Buktinya kata Halimah, semua kawasan kejirananya di Kampung Paloh, Ipoh turut bangun seawal pagi untuk bersiap dan berkumpul bersama.

“Di Ipoh tak kurang pun meriahnya, kami berkumpul ramai-ramai di tapak pasar, pakai baju cantik dan buat macam-macam aktiviti.

“Banyak kedai jualan dibuka, ada makanan, baju dan hasil barang buatan tangan penduduk, peliknya banyak habis terjual, punyalah ramai yang turun,” katanya.

Dia yang ditemui di kediamannya di Kampung Bahagia, Sungai Siput turut mengambil kesempatan menjual gelang manik ketika itu.

Katanya, gelang-gelang manik itu disiapkan pada malam sebelum hari kemerdekaan bersama adik beradik lain.

“Kami tidur lewat semata-mata nak siapkan gelang manik, alhamdulillah, mujur laku juga gelang opah,” katanya.

Halimah berkata, keadaan sekitar di tapak pasar itu tidak ubah umpama satu pesta keraian.

Orang ramai katanya, tersenyum dan melaungkan kata merdeka setiap kali bersapa.

“Di tapak pasar tu, semua orang banyak ketawa, gembira bila tanah kita bebas daripada penjajah,” katanya.

Anak ketiga daripada enam beradik ini berkata, peristiwa paling lucu berlaku pada sambutan kemerdekaan itu, apabila adik lelakinya begitu bersemangat untuk masuk pertandingan pakaian beragam.

“Masalahnya pertandingan tu untuk perempuan sahaja, sebabkan dia nak masuk juga, terpaksalah dia pakai baju perempuan,” katanya sambil ketawa.

Menurutnya, usaha dilakukan bersama ahli keluarga dalam mendandan adik lelakinya berbaloi, apabila dinobatkan pemenang tempat ketiga.

“Sampai sekarang bila ingat balik peristiwa itu, saya ketawa tak sudah, sekarang semua pun dah meninggal dunia,” katanya.

Anak kelahiran Batu Kurau, Taiping ini berkata, peristiwa paling diingati adalah detik Pengasas dan Presiden Umno, Datuk Onn Jaafar turun ke Ipoh bertemu penduduk di situ.

“Opah nampak dia dari jauh saja, tapi seronok bila dapat dengar dia bercakap pasal negara dah merdeka,” katanya.

Halimah berkata, perjuangan kemerdekaan adalah satu sejarah buat negara yang perlu dikongsi sebagai peringatan generasi akan datang – sinar