PERMAISURI: Ibu dan bapa kepada calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Amir Long, terbabit dalam kemalangan ketika pulang dari Pusat Penamaan Calon di Pejabat Daerah Setiu, hari ini.

Difahamkan, kejadian berlaku di Gong Badak, Kuala Nerus jam 2.40 petang.

Amir berkata, pada awalnya dia memandu berseorangan di hadapan manakala ayahnya, Long A Rahman, 76, yang menaiki kereta jenis Volvo bersama ibunya, Norliza Mohd Nor, 59, mengikuti dari belakang.

“Saya hanya menyedari kejadian terbabit selepas dihubungi kakak yang memaklumkan kedua orang tua kami terbabit dalam kemalangan.

“Tanpa berlengah, saya menuju lokasi kemalangan dan ketika sampai, saya nampak kenderaan dinaiki mereka sudah tersadai di bawah pokok sebelah longkang kecil,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Amir yang juga Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Terengganu berkata, bapanya memaklumkan dia cuba mengelak sesuatu sebelum terbabas ke bahu jalan.

“Pagi tadi ayah kelihatan gembira sewaktu mengiringi saya ke pusat penamaan calon, mungkin dia agak keletihan memandu dalam cuaca panas terik hingga menyebabkan kenderaan dipandu terbabas.

“Kedua orang tua saya dibawa sepupu ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan dan kemungkinan akan ditahan dalam wad.

“Saya reda dengan ujian menimpa keluarga ini namun perjuangan dalam PRU-14 (Pilihan Raya Umum ke-14) akan tetap diteruskan,” katanya.

Dalam PRU-14, 9 Mei ini, Amir dari PKR akan menentang penyandang NO8 Batu Rakit Bazlan Abd Rahman (BN) dan Mohd Shafizi Ismail (PAS) – berita harian