Ibu bapa dinasihatkan tidak meletakkan kecemerlangan akademik semata-mata sebagai ukuran kejayaan dalam mendidik anak-anak.

Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPIM) Datin Seri Saripah Zulkifli berkata sebaliknya kecemerlangan akhlak dan sahsiah ‎perlu menjadi keutamaan sebelum mereka boleh berbangga sebagai ibu bapa berjaya.
Katanya kecenderungan ibu bapa yang terlalu menekan kecemerlangan akademik merupakan faktor penyumbang kepada kemorosotan akhlak di kalangan remaja seterusnya ‎menyebabkan peningkatan dalam pelbagai masalah sosial hari ini.

“Senario hari ini apabila ibu bapa begitu menekankan kecemerlangan akademik mendorong anak-anak jadi tertekan, sehingga ada di antara mereka yang memberontak dan terlibat dengan aktiviti yang hanya merosakkan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program PEKERTI di SMK Matang, Taiping bersempena Permukiman di Parlimen Bukit Gantang dan Taiping pada Khamis.

Antara pengisian program ini seperti slot bersama ibu bapa dan pelajar yang memberi fokus kepada isu semasa berkaitan HIV/AIDS dan Penyakit Jangkitan Seksual serta Pengguguran ,Pembuangan Bayi dan Rogol.

Jelasnya, masalah sosial yang kian meruncing dalam kalangan remaja perlu dibendung bermula daripada keluarga itu sendiri, selain sokongan daripada pihak lain daripada terus menular dan meruntuhkan institusi kekeluargaan.

“Sebagai ibu kepada anak-anak, secara peribadi saya tidak berapa kisah jika anak saya tidak berapa berjaya dalam akademik asalkan mereka cemerlang dari sudut perilaku.

“Ini kerana jika dari sahsiah pun sudah cemerlang, secara sendirinya ia akan mendorong diri mereka untuk sentiasa memastikan mereka berjaya dalam apa jua bidang yang mereka ceburi,” katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap 5,705 kes kehamilan luar nikah membabitkan remaja perempuan di negeri ini.

“Saya sangat bimbang. ‎Perlu ada tindakan bagaimana kita boleh bersama-sama selesaikan masalah kehamilan luar ‎nikah.

Ini kerana peningkatan anak tidak sah taraf ini boleh merosakkan generasi ‎masa hadapan sekiranya tidak dibendung,” katanya.

 

Dalam pada itu Saripah turut memuji usaha Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang sentiasa memberi kerjasama dalam menganjurkan program kesedaran berkaitan seksualiti kalangan pelajar sekolah.

“Kita boleh lihat betapa pentingnya keperluan untuk program seperti ini, untuk bagi kesedaran pada orang ramai tentang situasi yang sedang dihadapi oleh anak-anak zaman sekarang,” katanya.