IPOH – Ibu bapa murid yang melecur akibat terkena air panas ketika amali sains di sebuah sekolah Tamil di Sitiawan menyatakan kesediaan untuk bertemu dengan pihak sekolah.

M Loganathan, 45, berkata, sehingga kini pihak ibu bapa masih belum berpuas hati dengan penjelasan pihak sekolah tentang kejadian yang berlaku.

Katanya, maklumat yang disampaikan oleh pihak sekolah berlainan dengan ketiga-tiga mangsa yang melecur teruk.

“Pihak sekolah kata kemalangan tapi bila kami tanya mangsa, mereka kata salah guru kerana letak pemanas air di atas toolbox sebelum tumpah ke atas mereka. Jadi ada dua keterangan bercanggah.

“Kami mahu pembelaan yang sewajarnya ke atas anak kami. Siasatan menyeluruh perlu dilakukan bagi mengelak kejadian sama berulang. Anak saya trauma dan tak henti menangis sampai sekarang,” katanya dalam satu sidang media, di Fair Park, di sini, hari ini.

Loganathan berkata, keluarga juga turut kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan Exco Kerajaan Negeri, Dr Abdul Aziz Bari yang mengatakan insiden tersebut disebabkan kemalangan sedangkan siasatan belum habis dibuat.

Katanya, laporan polis turut dibuat hari ini di Balai Polis Sitiawan bagi meminta siasatan menyeluruh dibuat terhadap kejadian itu.

Sementara itu, ibu kepada seorang mangsa, R Chandralekha, 30, berkata,

pihak sekolah dan guru perlu dikenakan tindakan jika siasatan mendapati berlaku kecuaian.

Katanya, setakat ini pihaknya mahu tindakan tegas diambil agar kejadian tidak berulang lagi bagi mengelak murid lain menjadi mangsa.

“Saya kini beri tumpuan untuk pastikan anak pulih seperti sediakala. Setakat ini saya tak ada rancangan untuk pindah anak ke sekolah lain.

“Jika sembuh nanti, saya akan kekalkan anak bersekolah di situ,” katanya.

Semalam, Abdul Aziz memaklumkan kejadian melibat empat murid tahun dua SJKT Maha Ganesa Viddyasalal, Rabu lalu bukan disebabkan kecuaian.

Beliau berkata, pihak sekolah telah mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Dalam kejadian Rabu lalu, empat pelajar mengalami kecederaan selepas terkena air panas ketika amali sains di makmal sekolah.

Tiga daripada mangsa mengalami lecur teruk pada bahagian badan dan kaki menyebabkan mereka terpaksa mendapat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun manakala seorang lagi murid hanya cedera ringan di bahagian paha – sinar